Sepetang Bersama Pemegang PhD Termuda Malaysia
AlhamdulilLah, petang tadi saya dapat meluangkan masa menghadiri sesi perkongsian seperti dalam 'banner' di atas. Sesi perkongsian bersama Dr. Hazzirah Izzati Mat Hassim yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Matematik Tulen daripada UTM pada usia 24 tahun dan 2 bulan dan telah mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records sebagai pemegang PhD Termuda Malaysia.
Klik di sini untuk membaca biodata beliau.
Perjalanan PhD beliau tiada bezanya dengan pelajar-pelajar yang lain. Ada jalan yang sukar dan ada jalan yang mudah. Namun, perkongsian pengalamannya sebagai pelajar PhD sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat dan memberikan motivasi kepada semua yang hadir.
Majlis Konvokesyen ke-53 UTM.
Berikut ialah kesimpulan yang diperoleh daripada sesi perkongsian tersebut:
- 3 perkara penting dalam pengajian PhD (dikongsikan oleh Timbalan Dekan SPS ketika itu): Tahun pertama; pelajar banyak mendengar pandangan yang diberikan oleh penyelia. Tahun kedua; pelajar sudah mampu untuk bertukar pandangan bersama penyelianya. Tahun ketiga; pelajar telah berkeyakinan untuk menjelaskan tentang kajiannya kepada penyelia.
- Kita perlu bijak menyeimbangkan masa antara pengajian dengan aktiviti-aktiviti yang lain seperti berpersatuan dan sebagainya. Fokus utama perlu diberikan terhadap pengajian.
- Momentum dalam menjalankan penyelidikan sememangnya ada naik turunnya. Jika 'stuck', berhenti sekejap (lakukan aktiviti yang dapat meredakan tekanan) dan jangan tinggalkan terlalu lama.
- Kita tidak boleh berseorangan. Perlu ada hubungan yang baik dengan penyelia, rakan-rakan pengajian dan sesiapa sahaja yang berada di sekeliling kita. Kadangkala dengan meluahkan masalah yang kita hadapi, kita menemui jalan penyelasaiannya walaupun ia bukan datang daripada orang yang mendengarnya.
- Kita perlu sentiasa merujuk carta gantt yang telah disediakan untuk memastikan kesemua perancangan telah dilaksanakan. Jika ada perancangan yang tidak berjaya dilaksanakan cuba kenalpasti punca dan cara untuk mengatasinya.
- Sesuatu yang telah kita mulakan harus kita sudahkan. Kita yang membuat pilihan untuk menyambung pengajian. Justeru, kitalah yang bertanggungjawab untuk menyempurnakannnya sebaik mungkin.
- Dengan menghadiri majlis konvokesyen rakan-rakan senior dapat menyuntik motivasi kita untuk menyudahkan pengajian tepat pada masanya.
- Jangan mudah menyerah. Mungkin hanya satu langkah yang membezakan antara kejayaan dan kegagalan.
- Kita harus menyesuaikan diri dengan cara kerja penyelia. Jangan jadikan kesibukan penyelia sebagai alasan untuk kita tidak fokus. Sentiasa mengemaskini 'progress' walaupun hanya sedikit. Sentiasa berjumpa penyelia dan buat persediaan sebelum berjumpa (nyatakan masalah yang kita hadapi, cadangan penyelesaian, langkah yang telah kita ambil dan sebagainya).
- Waktu yang diperuntukkan untuk menjalankan penyelidikan harus berkualiti. Kita perlu memperuntukkan waktu tertentu (hari bekerja) untuk melaksanakan penyelidikan. Jika waktu tersebut kita gunakan untuk tujuan lain kita harus menggantinya.
- Jadikan orang lain sebagai sumber inspirasi. Jika orang lain yang lebih susah daripada kita mampu untuk melakukan, kenapa tidak kita?
- Kesusahan yang kita alami semasa dalam pengajian, kesannya adalah kemanisan pada kesudahannya.
- Kita perlu bersedia dengan apa jua halangan yang datang. Dugaan yang diterima adalah ujian daripada Allah SWT dan ia sebenarnya adalah sekadar kemampuan kita untuk melaluinya.
- Banyak pengorbanan yang kita perlu kita lakukan. Masa, wang ringgit dan sebagainya.
- Untuk memotivasikan diri: Bayangkan apa yang hendak kita capai pada masa hadapan - kejayaan menggengam gelaran Doktor (walaupun ia bukan matlamat utama). Selalu ingatkan diri kita jangan sampai penyelia menyampah dan tidak puas hati dengan hasil kerja kita. Kekalkan hubungan baik dengan penyelia, walaupun tiada 'progress'. Apabila kita kerap berjumpa penyelia, akan timbul kesedaran kepada kita untuk 'do something'.
- Selalu lihat cara kerja orang lain. Jadikan contoh buat kita.
- Jangan segan dan malu untuk bertanya.
- Apa-apa pun; pucuk pangkalnya adalah diri kita sendiri. Kesedaran itu perlu timbul dalam diri kita sendiri.
Ini sahaja yang dapat saya simpulkan daripada sesi perkongsian tersebut. Mungkin ada yang tidak selari dan tidak menepati maksud yang ingin disampaikan. Moga ada manfaat buat anda semua. Semoga berjaya!
Leave a Comment