Program Kesukarelawan Sekolah Dalam Hospital

AlhamdulilLah, pada 16 Disember 2014 yang lalu, saya dan 7 orang rakan sukarelawan dengan 2 orang pensyarah daripada Fakulti Pendidikan, UTM telah menjalankan program kesukarelawan Projek Hati Nurani-Sekolah Dalam Hospital di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, Johor. Program ini adalah kerjasama antara Yayasan Nurul Yaqeen dengan Fakulti Pendidikan, UTM yang dilaksanakan bersempena dengan cuti persekolahan.

Projek Hati Nurani-Sekolah Dalam Hospital ini sebenarnya dilaksanakan mengikut sesi persekolahan sedia ada dan ia adalah projek usaha sama antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Yayasan Nurul Yaqeen. Ia memperuntukkan guru-guru akademik yang datang dari pelbagai latar belakang opsyen mengajar bagi membolehkan pesakit kanak-kanak dan remaja yang ditahan diwad mengikuti sesi pembelajaran seperti biasa. Nak tahu lebih lanjut? Boleh klik di sini.

Di Johor, selain di HPSF terdapat sebuah lagi Sekolah Dalam Hospital iaitu di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu, Johor. Sepanjang cuti akhir tahun yang lepas, sebanyak 4 program kesukarelawan telah berjaya dilaksanakan; 2 di HSA dan 2 di HPSF.


Kami datang dengan menaiki van Fakulti dan tiba di Sekolah Dalam Hospital HPSF lebih kurang pada jam 9.30 pagi. Ketibaan kami disambut oleh seorang pegawai daripada Yayasan Nurul Yaqeen.


Program pagi itu dimulakan dengan sesi taaruf dan taklimat daripada Ketua Jururawat dan ucapan daripada Pn. Norzanah binti Jamari; Pengarah Yayasan Nurul Yaqeen dan En. Mohd Effendi bin Abdul Rahman; Timbalan Pengarah (Pengurusan) HPSF. Ia turut dihadiri oleh guru-guru daripada Sekolah Dalam Hospital dan beberapa orang jururawat daripada Wad Pediatrik HPSF.

Mengisi maklumat diri dan mendengar taklimat serta ucapan.

Demonstrasi cara-cara mencuci tangan yang betul.


Setelah itu kami kembali ke Sekolah Dalam Hospital untuk melaksanakan aktiviti yang telah dirancang. Sebelum memulakan aktiviti, kami dimestikan untuk mencuci tangan mengikut cara-cara yang betul. Begitu juga, setelah selesai melaksanakan aktiviti nanti.


Kami telah dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu untuk melaksanakan aktiviti di dalam kelas dan di wad. Saya telah memilih untuk berada di dalam kelas bersama 2 orang lagi rakan sukarelawan.

Bergambar kenangan sebelum memulakan aktiviti.

Aktiviti di dalam kelas.
Kami diperuntukkan masa selama 2 jam untuk melaksanakan aktiviti yang telah dirancang. Ia berbentuk 'fun learning activities' yang tidak terlalu berat dan bersesuaian dengan tahap kesihatan para pelajar yang terdiri daripada aktiviti suai kenal, menyanyi, melukis, bercerita dan sebagainya lagi. AlhamdulilLah, semua aktiviti dapat dilaksanakan dengan baik dan mendapat kerjasama daripada para pelajar. Ada juga para pelajar yang tidak dapat meneruskan aktiviti kerana kondisi kesihatan mereka yang tidak begitu mengizinkan walaupun mereka sebenarnya sangat positif dan bersemangat.

Lagu yang saya reka khas untuk program ini.

Antara aktiviti yang dilaksanakan.

Aktiviti melukis dan mencantumkan bentuk-bentuk mengikut imiginasi para pelajar. Kemudian mereka perlu mempersembahkannya di hadapan rakan-rakan lain.
Manakala, aktiviti di dalam wad pula seperti mencantum 'puzzle', 'mini blocks', sesi perkongsian dan sebagainya lagi. Aktiviti di wad lebih bersifat santai dan lebih memerlukan kreativiti daripada sukarelawan kerana ia melibatkan para pelajar yang 'bedridden' ataupun yang tidak boleh membuat pergerakan yang banyak.


Setelah selesai melaksanakan aktiviti, semua sukarelawan kembali semula ke Sekolah Dalam Hospital. Kebetulan telah tiba masa makan untuk para pelajar. Kami teruskan dengan majlis penutup antara para sukarelawan, guru-guru dan para pegawai daripada Yayasan Nurul Yaqeen dan HPSF sendiri. Sebelumnya, kami mengisi borang refleksi untuk melaporkan aktiviti yang telah dilaksanakan. Seterusnya sedikit perkongsian oleh Pn. Norzanah tentang dunia kesukarelawan terutamanya di dalam Projek Hati Nurani-Sekolah Dalam Hospital. Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengahari.

Bergambar kenangan sekali lagi sebelum pulang.


Sebelum pulang ke UTM, kami sempat menunaikan solat jamak qasar di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Muar dan singgah minum petang di Kedai Kopi 434; kedai kopi yang popular di bandar Muar.

3 ulasan

Kakzakie Purvit berkata...

Kakak ni duduk aje di Johor tapi tak tahupun kalau tak baca N3 ini. Bagus dan kakak rasa memang patut diteruskan bukan 2 sessi dan dua hospital aje. Kalau ramai yg terlibat patut buat di banyak hospital laaaagi baik kan..

Salute kakak pada semua yg terlibat - tahniah!

CikguAreefNaim berkata...

Kak zakie,

Saya pun sebelum ni pernah dengar je... 2 hospital ni dipilih sbb enrollmen pelajar... Tapi, projek ni memang sedang diperluaskan. Di setiap negeri dah ada SDH ni... Tulah, kadang ada pelajar yang ditahan di wad berbulan-bulan sehingga pelajarannya mereka terabai.

TQ kak Zakie :)

cikgu sri berkata...

terima kasih sebab sudi berprogram di sekolah kami..sdh hpsf...terima kasih daun keladi..lain kali datang lah lagi...

Dikuasakan oleh Blogger.