i-Bantu Johor-Misi Bantuan Banjir Ke Kelantan: Secebis Pengalamanku

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Mafhum sebahagian firman Allah dalam surah al-Maaidah ayat 2: 
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
AlhamdulilLah, pada 31 Disember 2014 hingga 3 Januari 2015 (Rabu-Sabtu) yang lalu saya telah berpeluang untuk menyertai misi bantuan banjir ke Negeri Cik Siti Wan Kembang di bawah team i-Bantu Johor. Ia merupakan program bantuan kemanusiaan yang dianjurkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM). Sebenarnya, saya telah berjanji dengan seorang sahabat agar kami dapat pergi bersama-sama untuk menyertai mana-mana misi bantuan banjir anjuran IKRAM, tetapi disebabkan tawaran ini diterima ketika beliau sedang menghadapi peperiksaan akhir, maka saya pergi dahulu. AlhamdulilLah, beliau sendiri baharu sahaja pulang dari misi bantuan banjir bersama Skuad Operasi Sukarelawan Muda (OSEM) di bawah Pertubuhan Pemuda GEMA Johor ke Perak Tengah baru-baru ini.

Perjalanan Pergi: 31 Disember 2014 (Rabu)

Jam 3.30 petang saya tiba di Kompleks IKRAM Johor (KIJ) di Taman Universiti, Skudai. Kereta; saya tinggalkan di UTM dan alhamdulillah rakan sepengajian saya Uzailun sudi menghantarkan saya ke sini. Uzailun orang Kelantan. Tetapi, dia tidak dapat pulang ke kampung kerana sedang bergelut dengan semester akhir pengajian Sarjananya. AlhamdulilLah, rumahnya di kampung tidak terkena musibah banjir.

Setibanya di KIJ, saya terus ke tingkat atas. Rakan sepengajian saya Mariani telah tiba terlebih dahulu setelah beberapa kali bertanyakan lokasi keberadaan saya. Saya tiba lewat sebenarnya huhuhu...

Untuk misi kali ini, saya tidak kenal sesiapa pun dalam kalangan sukarelawan yang akan turut serta. Sebenarnya Mariani pun saya tidak kenal. Kami hanya kenal dalam grup whatsapp satu program kesukarelawan di UTM dan kami dalam grup yang berbeza ketika mengikuti program tersebut. AlhamdulilLah, saya dapat membantunya menyertai misi ini walaupun pengesahan diterima pada saat-saat akhir.

Ada ramai juga yang telah tiba ketika itu. Sekumpulan adik-adik rijal (lelaki) lepasan Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH) Johor Bharu dan sekumpulan muslimat. Oh, dalam misi ini rupa-rupanya ada seorang sukarelawan yang pernah saya temui ketika menyertai misi bantuan banjir ke Kuantan pada akhir tahun lepas! Tapi, ketika itu kami tidak berpeluang untuk bertegur sapa. Almaklumlah dengan kapasiti 2 buah bas yang membawa sukarelawan dan hanya sehari berpeluang untuk berkhidmat, tentu sekali kami tidak berkesempatan untuk saling mengenali.

Misi bantuan banjir di Kuantan pada akhir tahun lepas.
Tidak lama selepas itu, satu sesi taklimat ringkas telah diadakan. Dimulakan oleh Mejar Wan Ibrisam Fikry aka Pakcik Wan selaku ketua misi dan ucapan tasyji' (pembakar semangat) oleh Ir. Dr. Faizul Amri Adnan selaku Pengarah i-Bantu Johor serta bacaan doa oleh Abdullah Mus'ab daripada SMIH.

'Ringankan Beban, Hulurkan Bantuan'.
Setelah selesai, kami mengambil beg masing-masing dan turun ke tingkat bawah kerana bas telah sedia menanti. Sebelum itu, kami bersama-sama mengangkat pelbagai sumbangan (yang terdiri dari makanan, dapur gas, air minuman, khemah, selimut, toto, tuala wanita, pampers kanak-kanak dan sebagainya lagi) untuk dimuatkan di ruang simpanan dan ada sebahagiannya (ubat-ubatan) diletakkan di bahagian atas bas. Sebelum berangkat, kami sempat bergambar beramai-ramai. Kebetulan Prof. Madya Ainullotfi Abdul Latif selaku Pengarah i-Bantu Pusat turut ada bersama.

Bergambar kenangan berlatarbelakangkan KIJ.
Dalam bas saya duduk di sebelah Fariz. Dialah yang pernah saya temui dalam misi bantuan banjir ke Kuantan pada akhir tahun lepas. Bila dah duduk bersama ni, barulah berpeluang untuk berkenal-kenalan. Fariz berasal dari Kuala Terengganu. Lulusan UMP dan kini bekerja sebagai seorang jurutera di Panasonic, Pasir Gudang. Berumur 25 tahun.

Saya di kiri sekali. Fariz di kanan sekali. Di sebelah Fariz ialah ketua misi kami.
Perjalanan melalui Lebuhraya Skudai dan keluar di Persimpangan Yong Peng Utara sebelum berhenti di Masjid Jamek Yong Peng untuk menunaikan solat Asar dan mengambil 13 orang lagi sukarelawan yang akan turut serta (daripada Batu Pahat dan Segamat) dalam misi ini. AlhamdulilLah, saya telah menunaikan solat jama' dan qasar terlebih dahulu sebelum bertolak. Jadi, di sini saya hanya mengambil kesempatan untuk membuang air huhuhu...

Pelbagai sumbangan turut dibawa bersama oleh sukaralewan daripada Batu Pahat dan Segamat ini. AlhamdulilLah, masih ada ruang untuk memuatkan sumbangan tersebut. Hasrat orang yang menyumbang, walaubagaimana sekalipun tetap perlu kita usahakan untuk membawanya... Dan dengan itu, maka lengkaplah kami seramai 43 orang sukarelawan (42 orang dewasa dan seorang kanak-kanak berusia 6 tahun-anak Pakcik Wan) dengan misi yang sama untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan. Isteri Pakcik Wan juga turut bersama dalam misi ini. Begitu juga Pakcik Im dan isteri serta seorang anaknya dan Makcik Rodzoh bersama anaknya Hamzah, Dr.Rosdina dan seorang anak perempuannya dan juga beberapa orang sukarelawan yang merupakan adik beradik. 
'Sweet' kan?

Wajah-wajah ceria dan penuh bersemangat...
Setelah selesai bersolat, kami meneruskan perjalanan dan berhenti di Masjid Jamek Bandar Segamat untuk menunaikan solat jama' taqdim Maghrib dan Isya'. Dahulu, saya bersekolah di SMKA Segamat. Saya ceritakan kepada Fariz, di masjid inilah dahulu saya menunaikan solat Jumaat dan pernah kehilangan kasut sekolah hihihi...

Setelah selesai bersolat, kami meneruskan perjalanan dan berhenti untuk makan malam di persimpangan jalan antara Segamat-Muadzam Shah. Terdapat banyak gerai makanan di sini. Cumanya nasib kami kurang baik kerana berkunjung ke gerai yang layanannya agak lambat dan kurang memuaskan. Tidak mengapalah, yang penting perut dapat diisi hihihi... Dan alhamdulilLah, Pakcik Wan telah sudi untuk membayarkan harga makanan kami semua.


Selesai makan malam, perjalanan diteruskan kembali menuju ke Kuantan. Adalah berhenti sekali dua untuk membuang air dan mengisi minyak. Saya juga mengambil peluang menelefon emak saya untuk memaklumkan lokasi keberadaan saya. Sepanjang perjalanan, agak sukar untuk saya melelapkan mata. Bukan tidak mengantuk tetapi hati saya risau mengenangkan pemandu bas yang hanya ada seorang untuk satu perjalanan yang cukup jauh. Jadi, saya hanya tidur-tidur ayam sambil memerhatikan pemandu di hadapan. AlhamdulilLah; Afiq, Cikgu Arman dan Fariz sudi bergilir-gilir duduk di sebelah pemandu untuk berbual-bual. Mungkin mereka juga berperasaan seperti saya. AlhamdulilLah, perjalanan kami tiada masalah dan dipermudahkan olehNya.


Perjalanan kami tidak melalui Jalan Pantai sebaliknya melalui jalan Jerangau-Jabor-Bukit Besi-LPT2-Setiu-Jerteh-Kota Bharu (lebih kurang begitulah laluannya).

Hari Pertama: 1 Januari 2015 (Khamis)

Lebih kurang jam 5.00 pagi, kami tiba di Masjid Hadhari, Jerteh untuk membersihkan diri dan menunaikan solat Subuh. Setelah selesai menunaikan solat, kami meneruskan perjalanan dan tiba di HUSM Kubang Kerian lebih kurang pada jam 8.00 pagi. Di sinilah kami akan bertugas dan bermalam. Sebelumnya, dari dalam bas kami menyaksikan pasca banjir di sekitar Pasir Tumboh dengan lumpur dan selut dan kesan-kesan air banjir yang memenuhi persekitaran dan membekas di dinding-dinding rumah. Ketibaan kami juga diiringi dengan hujan yang turun seiring dengan rasa sayu di hati menyaksikan musibah yang melanda bumi Kelantan.

Dr. Harris menyambut ketibaan kami di HUSM. Beliau merupakan seorang doktor di Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu yang telah meletakkan jawatannya. Mungkin untuk membuka kliniknya sendiri. Keberadaannya di sini juga adalah sebagai seorang sukarelawan.

Kami dibawa ke Masjid Murni, Pusat Islam HUSM untuk sesi taklimat dan bertaaruf antara sesama kami. Masjid ini akan dijadikan tempat penginapan untuk kami semua. Dr. Harris memulakan sesi tersebut dengan memperkenalkan dirinya dan memberikan gambaran serba ringkas berkaitan tugas-tugas sukarelawan. Sebelum kehadiran kami, tugas-tugas di sini banyak dilaksanakan oleh pelajar HUSM sendiri dan kebanyakan mereka terlalu 'exhausted' setelah beberapa hari bertugas tanpa rehat dek ketiadaan tenaga kerja sukarelawan yang mencukupi.

Dr. Harris sedang memberikan taklimat ringkas.
Selesai sesi itu, kami bersarapan pagi dengan nasi berlauk-nasi putih, ayam goreng, gulai terung dan sambal belacan. Menu yang saya rindui. Saya ni memang peminat makanan Kelantan kerana dahulu saya pernah belajar di Akademi Pengajian Islam, UM Kampus Nilam Puri selama 2 tahun.

Sukarelawan yang ditugaskan untuk menyediakan makanan.
Di perkarangan masjid, diwujudkan ruang memasak yang turut dikendalikan oleh para sukarelawan. Saya dimaklumkan, setiap hari mereka perlu menyediakan hampir 1500 bungkus makanan untuk sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam dan perbelanjaan ditaja sepenuhnya oleh HUSM. Bungkusan-bungkusan makanan itu akan diedarkan kepada sukarelawan, mangsa-mangsa banjir, jururawat yang bertugas dan sebagainya lagi. Antara team sukarelawan yang berada di situ ialah daripada Briged Sukarelawan Kolej Komuniti (BriSK) daripada Kolej Komuniti Perlis.

Bekerjasama memasang khemah.
Sempatlah kami membantu mengangkat khemah untuk digunakan di kawasan ruang memasak. Selepas itu, Dr. Harris terus membawa kami ke Pusat Operasi Bantuan Banjir NGO yang ditempatkan di Bangunan 12 Kompeni Medan Perubatan (Askar Wataniah) yang berada tidak jauh daripada Pusat Islam HUSM. Hanya perlu berjalan kaki sahaja. Pusat Operasi ini diketuai oleh Prof. Dr. Dinsuhaimi Sidek selaku Pengerusi Gabungan Bantuan Banjir NGO (BBNGO) dan juga Pengarah i-Bantu Kelantan. Gabungan ini terdiri daripada IKRAM, IKRAMHealth, i-Bantu, PAPISMA, Royalti, HALUAN, MERCY, PASMA, DPMM Kelantan, Kelab Doktor Pakar Kelantan, Kelab Expedisi Kelantan, Gabungan NGO Kelantan, USM BJIM, IMARET dan MACMA. Setibanya di sini, kami menurunkan semua sumbangan yang dibawa dan disusun mengikut jenisnya.

Dah macam pemeriksaan Pegawai Kastam. Hihihi...
Di sini, kami ditugaskan untuk membuat inventori apabila sumbangan daripada pelbagai pihak tiba di Pusat Operasi ini. Tentunya tenaga kami diperlukan untuk mengangkat kotak dan bungkusan yang berisi pelbagai jenis sumbangan yang berbentuk makanan, air minuman, keperluan diri, keperluan memasak, pakaian dan sebagainya lagi. Selepas dilaksanakan proses inventori dan penyusunan kotak dan bungkusan yang diterima mengikut jenis yang sama kami akan melakukan proses 'repacking'; membungkus beberapa jenis makanan dan air minuman dalam satu bungkusan yang dikenali sebagai 'family pack'. Ini demi memastikan sumbangan yang diterima dapat diagihkan secara sama rata kepada semua mangsa banjir. Ada juga bungkusan yang berisi keperluan diri seperti tuala wanita, pampers kanak-kanak, sabun mandi, ubat dan berus gigi dan sebagainya lagi.

Apa yang penting? Kerjasamaaa...
Kami bekerja secara 'shift'. Apabila tiba waktu tengahari, ada kumpulan yang balik untuk berehat, makan, menunaikan solat dan membersihkan diri. Dan sekumpulan yang lain akan terus berada di Pusat Operasi ini sehingga 'shift' mereka berakhir. Makanan sukarelawan turut dihantar ke sini.

'Repacking'.
Pada tengahari itu juga, Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas (Pusat) Bencana Banjir Negeri Kelantan telah datang melawat ke Pusat Operasi ini.

Kunjungan Tok Pa ke Pusat Operasi.
Untuk pengetahuan, pihak-pihak yang datang untuk mendapatkan sumbangan di Pusat Operasi ini perlu mendapatkan surat kebenaran daripada pihak urusetia. Pihak urusetialah yang akan memberikan kebenaran dan menentukan jenis dan jumlah sumbangan yang boleh diterima. Sebagai sukarelawan, kami hanya menerima dan mengikut arahan yang diberikan oleh pihak urusetia.

Kaunter penyerahan sumbangan.
Nampak macam senang kan tugas-tugas kami ni? AlhamdulilLah, memang senang! Sebabnya kami bekerja umpama sebuah keluarga yang besar. Saling bekerjasama. Walaupun baru sahaja kenal, tetapi kami tiada masalah untuk menyesuaikan diri dan bekerja dalam satu kumpulan. Masing-masing faham akan tujuan kami ke sini. Bukan untuk bersuka ria tetapi untuk melaksanakan misi kemanusiaan yang memerlukan semangat yang tinggi. Namun, itu tidak bermakna kami bekerja dalam keadaan tertekan dan kepenatan. 'Shift' yang ditentukan oleh ketua misi kami adalah langkah yang bijak dan kami bekerja dengan senyuman, gurau senda, gelak ketawa; yang membuatkan kerja bertambah mudah dan dapat dilaksanakan dalam suasana yang harmoni. Cuba bayangkan jika sumbangan yang banyak itu tidak ditadbir dan diurus dengan baik, sudah tentu urusan pengagihan sumbangan juga akan bertambah sukar.

Namun tugas kami di sini tidaklah sesukar mana berbanding sukarelawan dan para petugas yang berkhidmat di medan banjir. Mereka bukan hanya perlu mendahulukan kepentingan orang lain, tetapi sebaliknya turut mempertaruhkan nyawa mereka sendiri. Begitu besar jasa dan pengorbanan mereka... Mudah-mudahan ia menjadi amal yang akan dinilai tinggi di sisi Allah SWT. Aamiin..

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing...
Dalam team kami ini ada seorang doktor, bakal doktor dan seorang bakal jururawat lelaki. Mereka menyertai 'medical team' yang memberikan bantuan perubatan kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Pasir Mas.

'Medical team'-Dr. Rosdina, Ezzatul dan Muhammad.
Pada malamnya, kami menerima kunjungan daripada Prof. Madya Ainullotfi yang turut disertai oleh Presiden IKRAM Malaysia, Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad.

Bergambar bersama Presiden IKRAM Malaysia.
Jam 10.00 malam kami menamatkan tugas dan kembali ke tempat penginapan. AlhamdulilLah, di Pusat Operasi ini juga terdapat tandas dan sedikit ruang untuk menunaikan solat. Justeru, tidak menjadi masalah untuk kami menunaikan solat dan membersihkan diri walaupun 'shift' kami belum berakhir.

Setibanya di tempat penginapan, saya tidak terus tidur. Yang lain dengan aktiviti masing-masing. Ada yang terus berehat, menunaikan solat sunat, membelek telefon pintar masing-masing dan sebagainya lagi. Sebaliknya saya duduk di luar masjid bersama Jabri, Jazlie, Muhammad, Imad dan Marwan. Jabri dan Jazlie adalah adik beradik. Manakala Muhammad pula ada saudara mereka yang tinggal serumah. Imad rasanya adalah sahabat kepada Jazlie. Marwan pula adalah sahabat baru kepada kami semua hihihi... Mereka memasak maggi yang dibawa sendiri (tuang air panas je) dan kuahnya dimakan bersama roti. Macam makanan budak asrama kan? Hihihi... Tapi, di asrama dulu ada yang lebih teruk; makan maggi yang dituang air paip sahaja huhuhu... Tapi, bukan saya ye hihihi...

Serikandi...
Hari Kedua: 2 Januari 2015 (Jumaat)

Kami bangun untuk menunaikan solat Subuh yang diimamkan oleh ketua misi kami Pakcik Wan. Selesai solat, kami membaca al-ma'thurat yang dipimpin oleh Ammar daripada SMIH. Selesai membaca al-ma'thurat ada yang berehat sebentar, ada yang pergi mandi dan bersiap-siap sebelum bersarapan pagi. Pagi ini kami bersarapan dengan nasi goreng.

Yang gagah lagi perkasa... Hihihi...
Jam 8.30 pagi kami bergerak ke Pusat Operasi. Kami meneruskan kerja-kerja seperti semalam. Lebih kurang jam 9.00 pagi Pakcik Wan memaklumkan pagi ini kami akan ke Palekbang, Tumpat untuk mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir di sana. Alangkah gembiranya hati kami. Kerana memang ramai di antara kami yang mempunyai niat untuk ke kawasan banjir terutamanya ke Kuala Krai dan Gua Musang. Tapi, ketika itu 'access' untuk ke sana belum membenarkan lagi kecuali dengan menaiki kenderaan 4WD.

Kebetulan pagi ini, team BriSK dari Kolej Komuniti Kemaman baharu sahaja tiba. Jadi, merekalah yang akan mengambil alih tugas kami di Pusat Operasi ini. Sebelum pergi, kami mengangkat sumbangan yang akan dibawa untuk dimasukkan ke dalam ruang simpanan bas. Kami juga membawa set alatulis dan gula-gula untuk diberikan kepada kanak-kanak.

i-Bantu: Ringankan Beban, Hulurkan Bantuan.
Ketibaan kami di Palekbang disambut oleh ketua kampungnya sendiri. Sebelumnya, kami menyaksikan pasca banjir di sepanjang perjalanan untuk menuju ke sini. Ada kereta yang berlumuran lumpur dan selut tersadai di tepi jalan. Ada longgokan barang-barang yang telah rosak dikumpulkan di hadapan rumah. Di sesetengah kawasan air belum surut sepenuhnya lagi. Namun, ada juga gerai-gerai kecil yang telah mula beroperasi. Begitulah kehidupan. Tetap perlu diteruskan. 'Life must goes on'.

Pasca banjir di Palekbang, Tumpat.
Di sini, kami mengagihkan sumbangan yang di bawa ke rumah-rumah berdekatan. Kami juga meredah kawasan-kawasan yang air belum surut sepenuhnya. Sempatlah berbual dan bertanya serba sedikit kepada mangsa-mangsa banjir yang dilawati. Saya kagum dengan semangat mereka. Musibah yang melanda tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan. Ada seorang kakak yang saya temui, dia tinggal di Johor dan belum berpeluang untuk balik ke Johor kerana membantu keluarganya membersihkan rumah. Ada yang menceritakan detik-detik ketika banjir melanda. Kampung ini sebenarnya sudah lama tidak dilanda banjir berbanding Kampung Laut yang terletak berdekatan. Setakat air naik paras buku lali itu memang sudah biasa.

Moga ada ganjaranNya. Aamiin...
Kami dimaklumkan oleh ketua misi ada hamba Allah yang sudi memberikan 30 bungkus nasi berlauk kepada kami. AlhamdulilLah rezeki daripada Allah di hari Jumaat yang penuh dengan keberkatan.

Selesai misi kami di sini, kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Muhammadi. Hati saya berbunga kerana ia mengembalikan kenangan ketika saya belajar di Nilam Puri dahulu. Kota Bharu juga adalah kawasan yang agak teruk dilanda banjir. Kelihatan di sana sini lumpur dan selut yang telah kering. Keadaan di Bandar Kota Bharu agak berhabuk dan berdebu. AlhamdulilLah, Masjid Muhammadi telah dibersihkan walaupun tidaklah sepenuhnya. Tetapi, telah boleh digunakan untuk bersolat. Kedai dan gerai-gerai kecil di hadapannya juga telah mula beroperasi.

Pasca banjir di Masjid Muhammadi dan kawasan sekitarnya.
Selesai bersolat, kami menikmati makan tengahari di Restoren Zakini di Berek 12. AlhamdulilLah, sekali lagi Pakcik Wan sudi membayarkan harga makanan kami yang hampir mencecah RM500 huhuhu... Selesai makan, kami kembali ke Pusat Operasi untuk meneruskan kerja. Kebetulan, team BriSK juga sudah mahu pulang ke Kemaman kerana saya dimaklumkan oleh salah seorang pensyarah mereka mahu singgah ke rumah pelajar-pelajar mereka yang juga merupakan mangsa banjir. Pada petang itu juga, Pusat Operasi menerima kunjungan daripada Dato' Amir Md Noor, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti.

Rambang mata memilih lauk. Terima kasih Pakcik Wan!
Selepas Asar, kami membaca al-ma'thurat dengan dipimpin oleh Pakcik Wan sendiri. Fariz, Adib dan Edzhar mengikut Prof. Dr. Dinsuhaimi ke Lapangan Terbang Pengkalan Chepa untuk mengambil sumbangan yang baru tiba melalui jalan udara. Mereka tiba kembali di Pusat Operasi sebelum Maghrib. Sumbangan itu datang daripada MERCY, IMARET (Imam Response and Relief Team) dan beberapa pihak yang lain.

Malam itu, adik-adik SMIH, beberapa orang sukarelawan dan Pakcik Wan sendiri berkongsi duit untuk membelanja kami semua makan Domino's Pizza. Beberapa orang sukarelawan ditugaskan untuk keluar membeli. Kebetulan Pusat Operasi ini terletak berdekatan dengan pintu pagar utama. Dan Domino's terletak tidak jauh daripada situ. Saya pula meminta izin daripada Pakcik Wan untuk keluar kerana kawan saya semasa menuntut dahulu mengajak saya untuk pergi minum. Dia bekerja di Kuala Terengganu. Tetapi, pulang bercuti selama seminggu untuk membantu keluarganya membersihkan rumah mereka yang turut dilanda banjir. Rumah keluarganya terletak di Demit, tidak jauh daripada HUSM. Beliau juga menceritakan detik-detik ketika banjir mula melanda. Beliau mengalihkan kenderaanya ke kawasan selamat ketika air baru naik ke paras buku lali. Selepas itu pulang semula untuk menyelamatkan barang-barang di dalam rumah. Kemudian air naik dengan deras hampir ke paras pinggang. Ketika itulah mereka sekeluarga keluar daripada rumah dengan meredah banjir untuk mendapatkan bantuan.

Pizza time! Alhamdulillah...
Selesai minum, saya kembali semula ke Pusat Operasi. Lebih kurang jam 10.00 malam kami pulang ke tempat penginapan. Esok pagi, kami akan bertolak pulang ke Johor. Kalau diikutkan hati, masih belum puas untuk mencurahkan bakti. Tetapi, di Johor kami juga ada amanah yang dipertanggungjawabkan. Kalau tidak memikirkannya, mahu sahaja untuk terus berada di sini.

Gambar yang dikirimkan oleh kawan saya...
Malam itu, saya mengambil kesempatan untuk berbual-bual bersama Adib, Saiful dan seorang lagi sukarelawan yang saya tidak ingat namanya. Adib lepasan SKM dalam bidang penyediaan makanan. Saiful pula masih menuntut di IPG Kampus Perlis dan seorang lagi sukarelawan tu baru sahaja menamatkan pengajiannya di UUM dalam bidang Matematik. Kami duduk di bawah khemah makan. Lucu juga sahabat-sahabat sukarelawan saya ini. Ada sahaja bahan untuk digelakkan.  Malam itu saya diserang migrain. Sampai esok pagi kepala masih sakit. AlhamdulilLah, tidak menyerang ketika sedang bertugas...

Perjalanan Pulang: 3 Januari 2015 (Sabtu)

Membaca al-ma'thurat...
Pagi ini dimulakan dengan solat Subuh berjemaah dan diteruskan dengan bacaan al-ma'thurat yang dipimpin oleh Afiq; seorang pelajar lepasan Kolej Universiti Insaniah, Kedah. Setelah itu, kami berkemas dan bersiap-siap untuk pulang ke Johor. Sebelum pulang, kami bersarapan buat kali terakhir. Menu pagi ini ialah bihun goreng. Jam 8.30 pagi kami bergerak menuju ke bas yang telah sedia menanti. Sebagaimana kedatangan kami, kepulangan kami turut diringi dengan hujan yang turun membasahi bumi. Lebih kurang jam 9.00 pagi bas mula bergerak meninggalkan HUSM. 'Till we meet again'. Ilal liqa'...

Kami berhenti sebentar di Jerteh kerana ada yang berhajat untuk membeli keropok lekor untuk di bawa pulang ke Johor. Di Masjid Bukit Besi, kami berhenti untuk menunaikan solat jama' taqdim Zohor dan Asar sebelum berhenti untuk makan tengahari di Kuantan. Sekali lagi Pakcik Wan sudi membayarkan harga makanan kami semua. Semoga Allah murahkan rezeki Pakcik Wan sekeluargalah hendaknya. Aamiin... Erm, nak cerita sedikit tentang Pakcik Wan ni. Pakcik Wan merupakan seorang pensyarah di UTM dalam bidang harta tanah. Baru sahaja selesai VIVA dan menghantar pembetulan untuk tesis peringkat Kedoktorannya. Mempunyai 9 orang anak. AlhamdulilLah, ada beberapa orang anaknya sudah berada di peringkat universiti dan ada yang akan menamatkan pengajiannya tidak lama lagi. Tidak silap saya anaknya yang sulung melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Iskandariah, Mesir dan akan menamatkan pengajiannya pada bulan Februari ini.

Selepas makan tengahari, perjalanan diteruskan lagi. Seorang sukarelawan muslimat turun di Bandar Segamat. Kemudian, kami berhenti untuk menunaikan solat jama' taqdim Maghrib dan Isya' di Masjid Jamek Labis. Selesai solat, kami meneruskan perjalanan dan bas memberhentikan Adib di jalan masuk ke Felda Ma'okil. Ada sukarelawan yang turun di Masjid Jamek Yong Peng dan ada yang turun di R&R Machap. Dan bakinya yang lain akan meneruskan perjalanan untuk turun di KIJ. Lebih kurang jam 10.00 malam kami tiba di KIJ. Tiba masanya untuk mengucapkan salam perpisahan. Walaupun pertemuan itu indah ia tetap berakhir dengan perpisahan. Namun, mudah-mudahan ia menjadi pertemuan dan perpisahan yang diberkati-Nya. Aamiin... Ukhwah filLah abadan abada...

Akhir kalam, musibah banjir itu adalah ujian Allah buat hamba-hambaNya yang beriman. Dan adakah kita menyangka telah beriman sedangkan kita tidak diuji lagi? Sesuai dengan mafhumNya dalam surah al-'Ankabuut ayat 1-3:
Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
"Jika kita tidak mampu menjadi pensil untuk menulis kebahagiaan orang lain, jadilah seperti pemadam yang mampu memadamkan kesedihan orang lain".

Boleh baca DI SINI, perkongsian daripada ketua misi kami Pakcik Wan.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.