SEMINAR BUDAYA KERJA CEMERLANG GURU-GURU PENDIDIKAN ISLAM
 
PERINGKAT DAERAH KULAI TAHUN 2009
 
Mengumumkan, ketibaan Yang Berbahagia Tuan Hj. Hassan bin Issa, Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri Johor.
 
Dari Raub pergi ke Pontian
 
 
Terus pula ke Kuala Perlis
 
Harap semua berikan perhatian
 
Mohon saya mulakan Majlis.
 
BismilLahirRahmanirRahim.
 
Assalamu `alaikum wa RahmatulLahi wa Barakatuh.
 
Ketua Sektor Pendidikan Islam
 
Jabatan Pelajaran Negeri Johor
 
Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah
 
Pejabat Pelajaran Daerah Kulai
 
selaku wakil Jawatankuasa Kurikulum Daerah
 
Panitia Agama Islam Menengah dan Rendah
 
Program j-QAF dan Panitia Bahasa Arab
 
Penyelia Kanan Pendidikan Islam
 
Pejabat Pelajaran Daerah Kulai
 
Ustazah Kalthom binti Abd. Rahman
 
Penyelia Pendidikan Islam
 
Pejabat Pelajaran Daerah Kulai
 
Guru Penolong Kanan (HEM)
 
selaku wakil kepada tuan rumah
 
Pengerusi Jawatankuasa Kurikulum Daerah
 
Panitia Agama Islam Menengah
 
Program j-QAF dan Panitia Bahasa Arab
 
Naib Pengerusi Jawatankuasa Kurikulum Daerah
 
Panitia Agama Islam Rendah
 
 
seterusnya Yang Dihormati Ahli Jawatankuasa Pelaksana Seminar Budaya Kerja Cemerlang Guru-Guru Pendidikan Islam Peringkat Daerah Kulai Tahun 2009
 
barisan para pendidik; ustaz dan ustazah
 
hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian.
 
Seminar Budaya Kerja Cemerlang Guru-Guru Pendidikan Islam Peringkat Daerah Kulai Tahun 2009.
 
Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum ila Majlisil Ikhtitam li Nadwati Saqafiatil `Amaliyatil Mumtazah li Asatidzit Tarbiyyatil Islamiyyah bi Kulai li Sanah Alfin wat Taasi`ah.
 
Melayang serindit di atas permatang
 
 
Merbah berkicau di hujung muara
 
Pemanis kata selamat datang
 
Awal BismilLah pembuka bicara.
 
Sarung ketupat berisi inti
 
Dibawa budak sambil berlari
 
Kehadiran semua sangat dihargai
 
Moga Majlis bertambah seri.
 
Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian,
 
Bunga mawar cantik tersemat
 
 
Dipetik gadis di tepi titi
 
Doa dibaca memohon Rahmat
 
Moga Majlis sentiasa diberkati.
 
Bagi menambah keberkatan Majlis kita pada hari yang penuh bermakna ini, marilah sama-sama kita menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan dibacakan oleh Ustaz Ariffin bin Zakaria. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.
 
 
Amin Amin Ya Rabbal `Alamin.
 
Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ustaz Ariffin bin Zakaria atas bacaan doa itu tadi.
 
Untuk pengetahuan Yang Berbahagia Tn. Hj. Hassan bin Issa, hadirin dan hadirat sekalian,
 
Seminar Budaya Kerja Cemerlang Guru-Guru Pendidikan Islam Peringkat Daerah Kulai Tahun 2009 bukan sekadar sebuah nama. Ianya merupakan program yang julung-julung kalinya diadakan yang menghimpunkan seluruh guru Pendidikan Islam, Menengah dan Rendah, dan juga guru-guru bagi Program j-QAF di Daerah Kulai ini.
 
Antara objektif program ini diadakan adalah untuk meningkatkan penghayatan budaya kerja cemerlang di kalangan guru-guru Pendidikan Islam di Daerah Kulai ini; agar hasrat untuk melahirkan guru yang bukan sahaja mempunyai ciri-ciri mudarris, malahan mu`allim, mursyid, mu`addib dan murabbi.
 
Indah mekar si bunga kiambang
 
Mekar mewangi di taman larangan
 
Seminar Budaya Kerja Cemerlang harapannya gemilang
 
Melahirkan mudarris mumtaz lagi berketrampilan.
 
Tak molek jika ada alu tiada lesungnya
 
 
Tak berguna jika ada dayung tiada perahunya
 
Tak berkat ilmu tanpa amalnya
 
 
Tak lengkaplah Majlis jika tidak ada yang berbicara.
 
Untuk itu, Majlis dengan ini ingin mempersilakan kepada Yang Dihormati En. Anuar bin Jais, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah, Pejabat Pelajaran Daerah Kulai untuk menyampaikan ucapan alu-aluan. Dipersilakan Tuan.
 
Terima kasih diucapkan kepada Yang Dihormati En. Anuar bin Jais atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi.
 
Hadirin dan hadirat sekalian,
 
Kini, tibalah masanya untuk kita sama-sama mendengar ucapan perasmian penutup Seminar Budaya Kerja Cemerlang Guru-Guru Pendidikan Islam Peringkat Daerah Kulai Tahun 2009. Untuk itu, Majlis ingin mempersilakan kepada Yang Berbahagia Tn. Hj. Hassan bin Issa, Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri Johor untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan Tuan.
 
Setinggi-tingi penghargaan diucapkan kepada Yang Berbahagia Tn. Hj. Hassan bin Issa atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi.
 
Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian,
 
Sebagai tanda ucapan terima kasih di atas kesudian Yang Berbahagia Tn. Hj. Hassan bin Issa hadir ke dalam Majlis kita pada hari ini, dan sudi untuk menyempurnakan upacara perasmian penutup Seminar Budaya Kerja Cemerlang Guru-Guru Pendidikan Islam Peringkat Daerah Kulai tahun 2009, Majlis ingin menyampaikan sedikit tanda penghargaan kepada beliau.
 
Untuk itu, Majlis ingin mempersilakan kepada Yang Dihormati En. Jais bin Sudin untuk mengiringi Yang Dihormati En. Anuar bin Jais untuk menyampaikan tanda penghargaan tersebut. Dipersilakan dengan segala hormatnya.
 
Terima kasih diucapkan kepada Yang Dihormati En. Anuar bin Jais di atas kesudian menyampaian tanda penghargaan sebentar tadi.
 
Dan Majlis ingin merakamkan ucapan terima kasih sekali lagi kepada Yang Berbahagia Tn. Hj. Hassan bin Issa di atas kesudian hadir ke Majlis yang penuh bermakna ini.
 
Sudah teradat si anak lelaki
 
 
Mati berjuang, berundur jangan
 
Berani kami menjunjung adat
 
Bukan memberi kata dan puji
 
Buat kenangan sepanjang hayat.
 
Dan tiada untaian kata yang mampu dilafazkan selain ungkapan rasa syukur dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas buat semua, atas kesudian hadir ke halaqah ilmu; Seminar Budaya Kerja Cemerlang Guru-Guru Pendidikan Islam Peringkat Daerah Kulai Tahun 2009 dan memeriahkan Majlis Penutupan kita pada hari yang penuh keberkatan ini.
 
Ucapan terima kasih juga buat semua yang telah menjayakan Seminar Budaya Kerja Cemerlang Guru-Guru Pendidikan Islam Peringkat Daerah Kulai Tahun 2009, terutamanya pihak Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Kulai, SMK Senai selaku tuan rumah, Ahli Jawatankuasa Pelaksana, para pendidik yang terdiri daripada barisan ustaz dan ustazah, dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak.
 
 
Tanam langguna tumbuh kelapa
 
Terbit bunga pucuknya mati 
 
Sudah terpaku di dalam hati.
 
Hadirin dan hadirat sekalian,
 
Inilah yang dikatakan, umpama belayar telah sampai di pelabuhan
 
 
Umpama berkayuh telah sampai di muara
 
Umpama berjalan telah sampai di destinasi.
 
Para hadirin sekalian, kita telah pun berada di hujung Majlis.
 
Dikesempatan ini, saya ingin memohon ribuan kemaafan andai ada salah dan silap sepanjang mengacarakan Majlis ini.
 
 
Pergi ke dusun memetik kelapa
 
Kelapa muda si kelapa barli
 
Jari disusun maaf dipinta
 
Panjang usia bersua kembali.
 
Sekian sahaja, salam hormat, wa bilLahit Taufiq walHidayah wassalamu `alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.
 
Dijemput kepada Yang Berbahagia Tn. Hj. Hassan bin Issa diiringi dif-dif jemputan untuk menikmati sedikit hidangan yang telah disediakan. Dan dijemput juga kepada semua tetamu untuk turut mengiringi dan menikmati jamuan yang telah disediakan. Dipersilakan. Majlis bersurai.
 
 
 
Leave a Comment