From Johore to Chenor with Love

From Johore to Chenor with Love. AlhamdulilLah, pada 22-24 Januari yang lalu saya telah berpeluang untuk menyertai misi bantuan pasca banjir bersama team i-Bantu IKRAM Kulaijaya. Ia merupakan misi i-Bantu IKRAM yang ke-97. AlhamdulilLah, seramai 43 orang sukarelawan telah dipilih dan digerakkan hatinya oleh Allah SWT untuk turut serta dalam misi ini. Kami pergi dengan sebuah bas dan sebuah 4WD. Misi utama kami adalah untuk mengecat bangunan SK Chenor, Chenor, Pahang. Pada fasa banjir yang lalu, ia dinaiki air sehingga ke tingkat satu bangunan sekolah. Walaupun kerja-kerja pembersihan bangunan sekolah telah dilaksanakan, kehadiran kami adalah lebih kepada untuk membantu pihak sekolah menceriakan dan mengindahkan lagi bangunan sekolah dengan cat yang baru. Sekurang-kurangnya ia dapat memberikan semangat kepada seluruh warga sekolah untuk terus menjalani kehidupan dan menghadapi musibah yang menimpa dengan hati yang terbuka dan bersangka baik kepada Allah SWT. In syaa Allah. Aamiin...


Kami bertolak pada malam 22 Januari. Sebelumnya kami berkumpul di Masjid ar-Rahman, Taman Putri, Kulaijaya dan mendengar taklimat yang telah disampaikan oleh PakKay (Khalid Liman) selaku Penolong Setiausaha IKRAM Kulaijaya dan Akh Seroleh Osman selaku ketua misi. Satu tazkirah ringkas juga telah disampaikan oleh Prof. Madya Zamani Md Zin selaku YDP IKRAM Kulaijaya. Beliau juga telah turut serta dalam misi ini bersama isteri dan 2 orang anaknya. Tazkirah yang disampaikan berdasarkan ayat 190 daripada surah A-li 'Imraan yang menyeru kita agar menghayati dan mengambil pengajaran daripada musibah yang berlaku sebagai suatu petunjuk yang dapat membuatkan diri kita berfikir dan mengakui akan kebesaran dan kehebatan Allah SWT.

Sebelum berangkat, kami telah dibekalkan dengan ubat antibiotik sebagai benteng diri daripada dijangkiti penyakit bawaan air. Lebih kurang jam 11.50 malam kami memulakan perjalanan dan tiba di Masjid Daerah Bera lebih kurang pada jam 5.00 pagi. Kami berhenti di masjid ini untuk membersihkan diri dan menunaikan solat Subuh.

SK Chenor: 'Here we come!'
Jam 8.00 pagi kami tiba di SK Chenor. Kami disambut oleh Guru Besarnya sendiri; Tn. Hj. Zakaria Hj. Abdul Razak. Beliau telah membawa kami ke kantin sekolah untuk sedikit majlis taklimat ringkas.

Guru Besar SK Chenor sedang menyampaikan ucapannya.
Majlis ini juga turut dihadiri oleh Pegawai Pendidikan Daerah Maran; Tn. Hj. Jalani Hj. Ludin dan beberapa orang pegawai PPD yang lain.


Selesai sesi taklimat, kami bersarapan pagi. Pihak sekolah telah menyediakan kuih-muih dan minuman panas buat kami. Mereka tidak menjangka kami tiba awal. Justeru, mereka tidak berkesempatan untuk menyediakan sarapan berat buat kami. Tidak apa tuan, itulah adat sukarelawan sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan... Sebenarnya, pihak kami telah membawa bekalan daripada Johor yang berupa nasi putih, nasi himpit, roti, telur rebus, sambal tumis, serunding kelapa dan daging dan lauk-lauk dalam tin. Bagi saya, ia adalah tindakan yang bijak. Sebagai sukarelawan, kita memang tidak boleh meletakkan apa-apa 'expectation' dan perlu mempunyai 'backup plan' sendiri.

Nampak menyelerakan tak? Nyum3x...
Selesai bersarapan, tanpa berlengah kami terus memulakan tugas. Akh Seroleh telah membahagi-bahagikan tugas di antara kami. Sepanjang 1 hari setengah ini kami ditugaskan untuk mengecat pagar dan tembok sekolah, surau, dewan, tiang dan dinding di tingkat bawah serta mengecat kembali mural-mural sedia ada.


Mencuci kesan-kesan banjir pada pagar dan tembok sekolah sebelum proses mengecat dimulakan.
YDP IKRAM Kulaijaya yang sungguh bersemangat...
Wah, masing-masing menunjukkan 'skill' mengecat! Hihihi...
Lebih kurang jam 12.00 tengahari, kami menghentikan kerja untuk bersiap-siap bagi menunaikan solat Jumaat di masjid yang terletak berdekatan dengan sekolah. Hanya perlu berjalan kaki sahaja. Setelah selesai solat, kami menaiki bas ke SK Kertau untuk makan tengahari. Sekolah ini dijadikan pusat penyediaan makanan untuk para sukarelawan. Kebetulan team i-Bantu IKRAM Bandaraya JB turut menginap di sini. Mereka bertugas untuk mengecat masjid berdekatan. Dan pada esoknya juga akan tiba satu lagi team i-Bantu IKRAM Kulaijaya yang akan menginap dan bertugas untuk mengecat bangunan SK Kertau ini. Makan tengahari yang telah disediakan berupa nasi putih berlaukkan ayam goreng, sayur masak lemak dan sambal budu. AlhamdulilLah...

Pasca banjir di sekitar kawasan kampung.
Di masjid inilah kami menunaikan solat Jumaat. Masjid ini terletak betul-betul berhadapan dengan Sungai Pahang.


Salah sebuah rumah di Kampung Machang Gelap. Nampak seperti rumah yang telah ditinggalkan. Kami dimaklumkan, kampung ini merupakan sebuah kampung tinggal. Ketika banjir besar melanda sekitar awal 70-an, ramai penduduk kampung yang telah berpindah meninggalkan kampung ini. Hanya segelintir sahaja yang tidak berpindah.
Pasca banjir di dalam kawasan sekolah dan di kawasan luar pagar.
Di hadapan sekolah, terdapat sebuah rumah dua tingkat milik penduduk kampung. Menurut penghuninya, sebelum ini air tidak pernah naik sehingga ke tingkat dua rumahnya. Maka, bila banjir melanda baru-baru ini mereka meletakkan barang-barang di tingkat dua rumah dengan harapan ianya akan selamat. Namun, manusia itu hanya mampu merancang dan Allahlah sebaik-baik Perancang. Air telah naik sehingga ke tingkat dua rumah dan merosakkan barang-barang yang mereka letakkan di situ. Allahu Akbar!
Tazkirah ringkas selepas makan malam yang diadakan di dewan sekolah. Di sinilah kami bersolat jemaah dan menjadi tempat tidur untuk sukarelawan muslimin.
Selesai makan tengahari, kami kembali semula ke SK Chenor untuk meneruskan kerja dan menamatkannya sebelum Maghrib. Selesai solat jamak Maghrib dan Isyak, kami menikmati makan malam yang telah dihantar ke sini daripada SK Kertau. Nasi goreng, sup bebola dan sambal kicap. AlhamdulilLah. Selesai makan malam, kami berkumpul di dewan sekolah untuk mendengar sedikit tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Pak Uteh. Sebelumnya, Pak Uteh memberikan kesempatan untuk kami bertaaruf sesama sukarelawan yang lain. Namun, maaf saya tidak dapat 'recall' intipati tazkirah yang disampaikan kerana tidak membuat sebarang catatan ketika itu. Huhuhu... Selesai sesi ini, kami bersurai untuk berehat dan tidur. Sukarelawan muslimat akan bermalam di surau. Manakala, sukarelawan muslimin pula akan bermalam di dewan ini. Kami juga berasa amat terharu kerana Tn. Hj. Zakaria turut bersama kami tidur di dewan ini.

Kuliah Subuh.
Lebih kurang jam 5.00 pagi, kami bangun untuk membersihkan diri, berqiamullail dan bersedia untuk menunaikan solat Subuh. Selesai solat, Prof. Madya Zamani telah menyampaikan kuliah Subuh yang berkaitan dengan kepelbagaian ideologi dan kefahaman yang dianuti oleh manusia di seluruh dunia dan berkenaan hidayah daripada Allah SWT.

Setelah itu, kami bersiap-siap untuk bersarapan dan memulakan kembali kerja seperti semalam. Pagi ini, pihak sekolah telah menyediakan sarapan pagi buat kami dengan nasi lemak, bihun goreng, kuih-muih dan minuman panas. AlhamdulilLah...

Pagi ini juga, beberapa orang sukarelawan akan pergi menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di kampung berdekatan. Mereka pergi dengan sebuah 4WD dan diringi oleh ketua kampung yang akan membawa ke rumah-rumah mangsa banjir yang memerlukan sumbangan.

'Repacking' sumbangan pada petang hari pertama.
AlhamdulilLah, sumbangan dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukan. Maaf, saya terpaksa mengkaburkan wajah sesetengah penerima untuk menjaga aurat mereka.
Wajah-wajah yang tetap bersemangat walaupun kepenatan...
Dengan cat yang baru...
Mural-mural yang telah dicat kembali. Sebelum dan selepas...
Tembok sekolah...
Lebih kurang jam 11.00 pagi, kami menghentikan kerja untuk mengemas, membersihkan diri dan bersiap-siap untuk pulang. Kalau diikutkan, banyak lagi yang ingin kami lakukan. Namun, setakat ini sahaja kesempatan yang kami ada. Kami juga telah meninggalkan kesemua peralatan mengecat yang dibawa. Mudah-mudahan ia dapat digunakan pada masa yang akan datang. In syaa Allah. Aamiin...

Satu majlis penutupan telah diadakan dan diakhiri dengan sesi bergambar. Tn. Hj. Jalani juga turut hadir dalam majlis ini. Lebih kurang jam 12 lebih tengahari kami menaiki bas dan mengucapkan selamat tinggal kepada SK Chenor. Moga SK Chenor akan terus sukses! Ada umur yang panjang in syaa Allah kita berjumpa lagi. Aaamiin...

Kami ke SK Kertau terlebih dahulu untuk makan tengahari. Satu lagi team i-Bantu IKRAM Kulaijaya juga telah tiba dan memulakan tugas mengecat di SK Kertau ini. Setelah itu, kami meneruskan perjalanan dan berhenti di Serting untuk menunaikan solat jamak dan minum petang. Kemudian, meneruskan kembali perjalanan dan berhenti sekali lagi untuk solat jamak di r&r Machap dan tiba kembali di Masjid ar-Rahman lebih kurang pada jam 9.00 malam. AlhamdulilLah - it's such a wonderful journey! Kepada semua diucapkan fi amanilLah wa ilal liqa'...

Sekitar majlis penutupan.
Bergambar kenangan...
Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97:

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.

p/s: Terima kasih buat Akh Seroleh dan Akh Sulaiman yang telah menyumbangkan gambar-gambar untuk saya muatkan dalam entri ini. Untuk melihat gambar-gambar keadaan SK Chenor selepas banjir surut, bolehlah ke laman Facebooknya di sini.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.